Kita sering
melihat kesan pencemaran alam yang banyak berlaku pada masa ini. Keadaan ini
sudah berubah jika dibandingkan dengan suatu masa dahulu iaitu udaranya lebih
nyaman serta keadaan cuaca yang tidak terlalu panas. Perkara ini membolehkan
manusia menjalani kehidupan dengan selesa. Walau bagaimanapun, keadaan bumi
pada masa kini yang terlalu panas telah memberikan kesan negatif kepada
kehidupan manusia dan juga alam sekitar. Hal ini diibaratkan seperti manusia
hidup di dalam balang kaca yang panas. Oleh hal yang demikian, masyarakat
seharusnya tahu punca-punca yang menyebabkan pemanasan global ini berlaku agar
dapat mencari ikhtiar untuk menaganinya.
Terdapat banyak punca yang menyebabkan pemanasan global, antaranya perkara itu
disebabkan oleh aktiviti manusia yang tidak terkawal di dunia ini. Hal ini
demikian kerana, perkara yang sering kita lihat yang melibatkan aktiviti
manusia seperti penerokaan hutan dan pertanian pindah. Mereka membakar kawasan
yang telah dijadikan kawasan pertanian untuk dijadikan sebagai baja organik dan
mereka membuka pula pertanian baharu di kawasan lain untuk mendapatkan hasil
pertanian yang lebih banyak. Namun begitu, secara tidak langsung pembakaran
tersebut telah menyebabkan haba terperangkap di udara dan akhirnya menyebabkan
suhu semakin panas.
Selain itu, faktor lain yang menyebabkan berlakunya pemanasan global ialah
pembebasan gas-gas yang berbahaya secara tidak terkawal. Menurut data yang
dikeluarkan oleh Bank Dunia, Amerika Syarikat telah disenaraikan sebagai
pengeluar gas karbon dioksida terbesar dunia dengan jumlah 60005 tan.
Peningkatan gas karbon dioksida di atmosfera merupakan penyebab utama pemanasan
global yang terhasil daripada pembakaran bahan api fosil, penggunaan minyak
petrol dan pembakaran arang batu. Oleh hal yang demikian, pihak yang terlibat
secara langsung dalam kes tersebut wajar melakukan anjakan paradigma dan
menyembuhkan luka yang dialami oleh bumi ini. Masyarakat juga harus mengatasi
masalah ini sebelum ‘nasi menjadi bubur’.
Di samping itu, kegiatan perindustrian turut menjadi faktor pemanasan global
berlaku. Hal ini demikian kerana, kegiatan perindustrian yang pesat membangun
akan menghasilkan gas-gas berbahaya seperti karbon monoksida. Para saintis di
Amerika Syarikat telah membuat ramalan bahawa peningkatan suhu bumi akan berlaku
sebanyak 45 darjah celcius menjelang tahun 2030. Oleh itu, masyarakat janganlah
mengamalkan peribahasa “Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk
masing-masing”. Oleh hal yang demikian, mereka seharusnya mencegah
perkara-perkara negatif sebelum berlaku selaras dengan pepatah, ‘mencegah lebih
baik daripada mengubati’.
Pembakaran terbuka juga menjadi punca berlakunya pemanasan global di muka bumi
kita ini. Banyak pembakaran terbuka yang telah dilakukan oleh individu yang
tidak bertanggungjawab. Kesan daripada kegiatan tersebut menyebabkan gas karbon
dioksida terhasil serta terbebas di udara dan seterusnya memerangkap haba. Oleh
hal yang demikian, pihak kerajaan seharusnya memperketat undang-undang agar
mereka tidak berani membuat sebarang kesalahan di muka bumi ini. Rentetan
daripada perkara itu, masalah jerebu yang sering melanda dunia juga akan
berkurangan. Kita seharusnya sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian
tidak berguna, iaitu sebelum keadaan bumi kita ini menjadi lebih melarat
lagi.
Namun begitu, masih terdapat faktor lain yang menjadi penyebab kepada pemanasan
global seperti pembinaan bangunan pencakar langit. Di bandar besar seperti
Kuala Lumpur, bangunan-bangunan tinggi yang tersergam indah itu juga sebenarnya
memberikan impak negatif kepada muka bumi kita ini. Hal ini demikian kerana,
pantulan daripada matahari yang menembusi cermin bangunan boleh menyebabkan
haba terperap di kawasan atmosfera. Dengan cara ini, masyarakat seharusnya
janganlah mengambil mudah seperti melepaskan batuk di tangga, dengan mengejar
segala arus pembangunan tetapi menyebabkan kesan negatif kepada hidupan lain.
Maka, jelaslah bahawa ketidakseimbangan manusia mengeksploitasi khazanah bumi
merupakan faktor berlakunya pemanasan global.
Kesimpulannya, kemanusiaan yang semakin menipis, iaitu senipis kulit bawang ini
merupakan faktor tercetusnya pemanasan global di muka bumi ini. Sehubungan
dengan itu, setiap individu dan insan di dunia ini perlu memupuk semangat cinta
akan alam sekitar agar bumi yang sedang sakit ini dapat dipulihkan semula.
Diharapkan agar fenomena pemanasan global yang sedang melanda dunia sekarang
ini akan berakhir dengan segera agar keselamatan dan kesejahteraan hidup
makhluk di dunia ini akan berkekalan. Pihak kerajaan pula perlulah lebih peka
terhadap masalah global yang semakin bernanah ini malah perlu menguatkuasakan
undang-undang yang lebih tegas agar masyarakat lebih prihatin dengan nasib bumi
ini. Oleh itu, Mahatma Gandhi pernah berkata, “kita tidak mewarisi alam ini
daripada datuk nenek kita, tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan